November 23rd, 2008 by admin
Baru-baru ini saya dijemput untuk memberi sedikit info berhubung proses penyerahan hak pengurusan bangunan kepada Perbadanan Pengurusan yang baru ditubuhkan. Hasil dari pertemuan tersebut, banyaklah isu-isu yang ditimbulkan dan terdapat beberapa perkara yang menimbulkan kesamaran kepada ahli Perbadanan Pengurusan yang baru. Ini ditambah dengan proses penyerahan yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa sedikit panduan kepada ahli jawatankuasa Perbadanan Pengurusan yang telah dilantik. Proses ini dikusutkan lagi apabila syarikat asal yang mengurus bangunan masuk campur dengan tujuan untuk membantu.
Proses ini pada kacamata saya nampak mudah tetapi apabila kaedah penyerahan yang dilakukan tampak kusut ditambahkan lagi dengan agenda disebalik oleh pihak yang ada kepentingan di dalam pengurusan tersebut menyebabkan tanggungjawab sebenar yang sepatut dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa Pengurusan Perbadanan baru nampak pincang.
Perkara utama yang saya nasihatkan kepada mereka ialah kita perlu amanah dan bertanggungjawab keatas pengurusan Perbadanan ini. Kita tidak boleh ambil mudah dengan tanggungjawab tersebut kerana kita tertakluk di bawah undang-undang Hakmilik Strata dimana kita boleh disaman atau menyaman sekiranya kita menyalahgunakan kuasa yang ada. Kemungkinan kita dapat lari hukuman dunia, tetapi bolehkah kita melarikan diri dari hukuman Allah.
Terdapat segelintir kecil dari Ahli Jawatankuasa yang mula gelap mata bila melihat sejumlah peruntukan yang bakal diperolehi walhal ia hanyalah amanah yang dipertanggungjawab kepada kita untuk mengurus sahaja dan bukannya menggunakan untuk kepentingan diri walaupun ia bertujuan baik untuk kemaslahatan penduduk bangunan tersebut.
Tidaklah perlu saya perincikan bagaimana penyelewengan ini dilakukan, tetapi apa yang ingin saya tekankan disini ialah proses penyerahan yang dilakukan oleh pihak pemaju tidak diikuti dengan pendedahan atau memberi sedikit info berhubung tanggungjawab Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan tersebut. Akibatnya pemilihan ahli adalah berdasarkan tangkap muat menyebabkan ahli yang dipilih mula merasa bahangnya dan mula kehilangan arah, apakah yang patut dilakukan selepas ini.
Timbul bermacam-macam fikiran dan yang paling ketara ahli jawatankuasa mula mengambil tindakan mudah dengan memohon untuk meletak jawatan kepada pihak pemaju. Persoalan mudah saya ialah, siapakah pemaju yang berhak untuk menerima perletakan jawatan tersebut. Dengan persoalan tersebut, menimbulkan banyak persoalan lain yang memerlukan jawapan yang jelas.
Saya bersimpati dengan keadaan mereka. Saya cuba untuk membantu tetapi tanpa komitmen mereka bagaimana saya dapat membantu. Malahan kebanyakan dari mereka mula mengalah sebelum berperang. Berpusu-pusu meletak jawatan sebelum melaksanakan tanggungjawab. Mereka menganggap diri mereka telah ditipu.
Read the rest »
October 31st, 2008 by admin
Kesibukan dalam melaksanakan beberapa tugasan luar membataskan masa saya untuk mengemaskini blog ini. Kebanyakan masa saya adalah diluar kawasan. Tambahan pula saya juga sedang mengajar secara sambilan disamping mengurus beberapa syarikat yang baru hendak naik menyebabkan masa menjadi semakin singkat.
Di dalam kesibukan tersebut, saya merasakan perlu adanya forum dikalangan ahli-ahli Perbadanan Pengurusan untuk memberi pendapat, pengalaman dan tunjuk ajar berkaitan pengurusan Perbadanan Pengurusan. Saya sedang menyediakan ruang forum ini sedikit masa lagi.
Saya berharap dengan kedatangan forum ini dapat memberi pendedahan di kalangan ahli untuk berbincang sesama sendiri disamping saya akan cuba memberi panduan sebanyak yang boleh berdasarkan pengalaman saya.
Saya juga telah berbincang dengan beberapa sahabat saya berhubung cadangan untuk memberi seminar berkaitan pengurusan Perbadanan Pengurusan. Tetapi cadangan ini masih diperingkat perbincangan. Saya juga sedang merangka untuk memberi kemudahan lain kepada Perbadanan Pengurusan dimasa akan datang.
Read the rest »
July 22nd, 2008 by admin
Hari ini, bertarikh 21hb Julai 2008, saya membaca suratkhabar berhubung kematian menyayat hati seorang kanak-kanak dari tingkat 13. Sehingga kini saya tidak tahu berapa ramaikah kanak-kanak terjatuh dari tingkat yang tinggi yang menyebabkan kematian.
Saya sendiri pernah mengalami peristiwa ini. Tidak perlulah saya menyebut dimana. Alhamdulillah kanak-kanan terbabit selamat. Saya bergegas ke tempat terbabit apabila mendapat berita yang mengemparkan. Kanak-kanak tersebut begitu asyik bermain tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.Maklumlah namanya pun kanak-kanak, seronok bermain sahaja.
Selain dari itu, saya juga mempunyai pengalaman membunuh diri, pasu bunga jatuh, cermin tingkap jatuh,bumbung jatuh, sampah dibuang dan lain-lain peristiwa sebegini. Saya seringkali berpesan kepada penduduk memerhatikan kanak-kanak dan juga pastikan tiada barangan diletakkan di balkoni.
Kita ketahui, kebanyakan penghuni terutamanya para ibu, suka menanam pokok bunga. Oleh itu mereka meletakkan pasu bunga berdekatan dengan tingkap. Kecuaian ini boleh menyebabkan penduduk dibawah terdedah kepada bahaya sekiranya pasu bunga tersebut jatuh.
Selain dari itu pembuangan sampah dari tingkat atas juga boleh menyebabkan kecederaan sekiranya bahan buangan tersebut bersifat keras. Tambahan pula dari tingkat yang tinggi disebabkan tekanan graviti boleh meningkatkan halaju bahan buangan tersebut seperti peluru dan mencederakan orang lain.
Oleh itu, nasihat saya berhati-hatilah disekeliling kita terutamanya barangan yang berada di dalam rumah kita.
Read the rest »
July 8th, 2008 by admin
Mesyuarat bersama Persatuan Penduduk dengan Penduduk pada 7hb Julai 2008 berhubung masalah “guard house” dan ’security bar” merupakan satu isu lagi berkaitan permasalahan di rumah pangsa. Saya tidak mahu merumus dan memanjangkan isu ini, tetapi apakah yang kita dapat berhubung permasalahan ini.Selama pengalaman saya mengurus bangunan bagi pihak pemaju, terdapat beberapa perkara yang dapat dipelajari dari contoh isu ini. Perkara ini seringkali terlepas pandang dipihak pemaju dan saya cukup sedar tentang perkara ini. Permasalahan ini tidak menjadi agak keterlaluan sekiranya pemaju adalah syarikat berasaskan Kerajaan (Government Link Corporation) dimana mereka tidak dapat lari dari permasalahan sosial (social obligation).Saya agak skeptikal untuk mendapat pangsapuri sekiranya dibina oleh pemaju swasta memandangkan akan timbul pelbagai isu kelak terutamanya permasalahan berkaitan dengan kependudukan.
Sikap kebanyakan pemaju yang tidak bertanggungjawab terutamanya yang mementingkan keuntungan semata-mata tidak mahu memandang kepada sudut permasalahan kependudukan kelak menyebabkan pembeli merasa dianiaya.Saya tidak menafikan bukan semua pemaju bersikap begini, tetapi kebanyakan pemaju tidak begitu arif berhubung permasalahan selepas pembeli menduduki rumah mereka. Kebanyakan dari mereka tidak meneliti perancangan sesebuah projek pangsapuri dari sudut Akta Hakmilik Strata. Mereka sepatutnya merancang dan merekabentuk bangunan sesuai dengan peruntukan di bawah Akta Hakmilik Strata. Saya belum lagi menyentuh peringkat rekabentuk dimana kebanyakan rekabentuk pangsapuri tidak mesra selenggaraan (maintainability). Mereka gah dengan kredebiliti “brand name” dan rekabentuk yang canggih dengan nilai estetika yang sungguh menawan. Sesuai pula dengan harga yang agak berpatutan menjadikan kita bertambah ghairah untuk memilikinya tanpa memikirkan risiko yang pembeli akan hadapi setelah mendudukinya kelak.
Siapa yang tidak mahu menduduki pangsapuri yang mempunyai kuantiti yang rendah dengan privasi yang baik.Pernahkah kita memikirkan kesannya kelak apabila kita terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan kemudahan begini.”You pay for it”. Saya sebenarnya ingin memberi sedikit tips berhubung cadangan untuk memiliki pangsapuri sekiranya ada segelintir sahabat kita ingin memiliki rumah kedua atau ketiga atau… (2nd house or..) Antara tips-tips yang boleh kita gunakan untuk memiliki pangsapuri lain ialah :
- Sekiranya unit Pangsapuri Yang ingin dimiliki mempunyai banyak blok, pastikan “title” nya samada satu “title” atau lebih.Elakkan memiliki unit pangsapuri yang hanya mempunyai satu blok dengan kuantiti yang rendah, melainkan kita sanggup membayar lebih untuk bayaran perkhidmatan
- Berapakah bayaran perkhidmatan yang dikenakan.Kita kena sesuaikan mengikut kemampuan kita untuk membayar secara bulanan.
- Sinking fund yang dikenakan.
- Apakah kemudahan yang disediakan sesuai dengan bayaran perkhidmatan yang dikenakan. Saya pernah berbicara dengan sahabat yang membayar bayaran perkhidmatan sehingga RM400 sebulan disebabkan oleh kuantiti unit yang terlampau rendah.
- Kredebiliti Pemaju samada baik atau tidak.Tidak banyak pemaju yang membuat pangsapuri malahan kebanyakan dari mereka lebih pakar dalam membina rumah teres atau unit banglo.Walaupun kebanyakan dari pemaju mampu membuat pangsapuri, tetapi yang apa yang dimaksudkan oleh saya ialah membina pangsapuri selari mengikut peruntukan Akta Hakmilik Strata.
Cukuplah dulu tips-tips yang saya senaraikan, saya akan cuba sajikan lagi pandangan lain berhubung permasalahan ini dari semasa ke semasa berdasarkan pengalaman saya. Bukan niat saya untuk mengajar tetapi sebagai sedikit panduan untuk saya dan juga semua
Read the rest »
June 27th, 2008 by admin
Assalamualaikum.
Halaman blog ini diadakan untuk memberi info dan tips bagaimana untuk mengurus dan menyelenggara bangunan atau blok yang diduduki. Kebanyakan dari penduduk yang dilantik atau bakal dilantik tidak mempunyai panduan atau tunjuk ajar bagaimana untuk mengurus bangunan mereka.
Kebanyakan dari mereka yang dilantik sebagai Badan Pengurusan atau juga dikenali sebagai “Management Corporation” lebih terarah untuk melantik agen untuk mengurus bangunan mereka. Sehubungan dengan itu, saya merasakan perlu adanya satu kaedah atau alternatif untuk membantu mereka yang telah dilantik sebagai ahli di dalam Badan Pengurusan untuk mengurus dan menyelenggara bangunan mereka sendiri tanpa mengharap kepada agen yang dilantik.

Read the rest »