Maklumat dari Syarikat Pengurus Harta atau Pemaju
Saya sering mendengar rungutan dari pihak penduduk berhubung maklumat terkini dari pihak yang bertanggungjawab mengurus bangunan. Boleh dikatakan tiada langsung info terkini. Pihak penduduk seolah-olah tidak mengetahui apakah yang terjadi seharian atau bulanan. Apakah pemaju atau pengurus harta tidak menjalankan kerja.
Hatta maklumat berkaitan dengan akaun juga tidak diketahui. Adakah mereka menjalankan kerja dengan baik dan terurus ataupun tidak. Penduduk juga tidak mengetahui hak masing-masing. Mereka juga ingin mengetahui apakah yang sudah terjadi kepada bayaran bulanan yang dikenakan.
Saya ada menghadiri sebagai pemerhati untuk mesyuarat agung luarbiasa berkaitan penubuhan Badan Pengurusan. Salah satu agendanya ialah meluluskan penggunaan sinking fund tanpa menetapkan nilaiannya serta meluluskan peruntukan untuk bayaran elaun kepada AJK Badan Pengurusan tanpa menetapkan nilaiannya juga.
Saya merasakan ada perkara yang tidak kena disini. Walaupun agendanya boleh diusulkan tapi masih ada lompangnya. Siapakah yang akan menetapkan nilaiannya. Bagaimana reaksi penduduk sekiranya nilaian yang ditetapkan tinggi. Bagi saya soal usul yang berkaitan dengan wang sepatutnya diluluskan secara sebulat sepenuhnya oleh penduduk. Sekiranya hanya seorang yang tidak bersetuju, maka usul tersebut tidak boleh diluluskan. Itu pendapat saya, kerana ia melibatkan dana untuk tujuan mengurus dan menyelenggara bangunan.
Saya akur dan bersetuju bahawa AJK yang dilantik wajar diberi sedikit imbuhan sebagai kesusahan dan kepayahan untuk menangani pelbagai isu, tetapi apakan daya ia bergantung kepada persetujuan bersama setiap penduduk.
Selain dari itu, kekurangan hebahan dari pihak pemaju atau pengurus harta menyebabkan penduduk tertanya-tanya berkaitan perumahan yang diduduki. Sepatutnya pemaju ataupun pengurus harta memberi pelbagai info terkini secara tetap agar penduduk mengetahui perkembangan terkini berkaitan dengan bangunan yang diduduki. Saya pasti sekiranya maklumat begini seringkali diadakan, tidak mustahil penduduk mengetahui pemaju atau pengurus harta menjalankan kerja dengan baik dan terurus.
















