Masalah Paip Tersumbat

Pada hari sabtu,4hb Oktober saya sudah pulang ke Pulau Pinang selepas beberapa hari berhari raya di Perak. Sampai sahaja di lobi pangsapuri, saya dapati lantai lobi dipenuhi dengan air kotoran yang lebih dikenali sebagai air limbahan. Air ini terdiri nasi dan makanan lain serta berbau. Kawasan sekitar menjadi kotor dan memberi pandangan yang tidak sihat. Jiran memaklumkan kepada saya bahawa paip buangan mengalami kebocoran disebabkan oleh penghuni ditingkat satu sudah menjolok paip tersebut dan akhirnya menyebabkan paip tersebut pecah.

Masalah ini, adalah menjadi satu masalah kebiasaan dikalangan penghuni perumahan bertingkat. Ia berpunca dari sikap penghuni yang suka membuang sisa-sisa makanan di dalam singki. Walaupun ia lumrah dilakukan tetapi sekurang-kurangnya kita tidak berusaha untuk meminimakan pembuangan sisa makanan melalui singki. Malahan kita memaksa pembuangan tersebut dan akhirnya menyebabkan sisa-sisa makanan tersebut terkumpul secara kumulatif di bahagian paip yang bengkok.

Apabila singki tersumbat, kita mencuba kaedah yang paling mudah, iaitu menjolok bahagian yang tersumbat. Akhirnya air di dalam singki berjaya dialir keluar. Itu belum lagi peringkat yang paling teruk. Peringkat seterusnya, ia menyebabkan paip pembuangan yang lain seperti paip pembuangan di dalam bilik mandi juga tersumbat. Maka acara yang sama dilakukan, iaitu menjolok dengan besi atau kayu sehingga air berjaya dialir keluar. Kita lupa akibat dari itu boleh menyebabkan “inspection door” dibahagian paip yang bengkok akan pecah dan akhirnya mengalami kebocoran.

Cuba kita bayangkan sekiranya kita mendiami di tingkat dua ke atas. Sudah pasti “inspection door” di bawah kita iaitu jiran kita akan menerima padah diatas sikap kita. Maka akan timbullah perbalahan antara kita dengan jiran dibawah. Semuanya berpunca dari kelalaian kita dalam menangani masalah ini dan tidak mencuba untuk mencegahnya dari terjadi. Adakah kita mengetahui ataupun tidak.

Sebab itu, “inspection door” diadakan untuk menangani masalah tersumbat ini. Selalunya permasalahan ini terjadi dibahagian yang bengkok yang lebih dikenali sebagai “elbow”,”duck neck” dan lain-lain lagi nama. Kaedah paling mudah adalah dengan menggunakan besi penyidai yang diluruskan dan bahagian hujung dijadikan seperti pengait. Sekiranya kita menjolok ia dapat mengurangkan risiko paip pecah kerana besi penyidai mudah bengkok.

Lain-lain kaedah adalah menggunakan bahan kimia yang khusus untuk menguraikan lemak-lemak yang menyebabkan berlakunya penyumbatan tersebut. Kaedah agak kurang berkesan kerana saya pernah mencubanya. Tetapi tidak salah untuk mencuba, kemungkinan ia boleh menyelesaikan masalah. Selain dari itu terdapat juga peralatan yang boleh digunakan. Tetapi yang paling sesuai, baik kita laporkan kepada penyelia bangunan kerana ia lebih arif tentang permasalahan ini dan selok belok paip pembuangan yang terdapat di bangunan terbabit. Cuba minta panduan dan tips untuk menyelesaikan permasalahan ini sekiranya masalah ini terjadi lagi.

Saya sendiri pernah mengalami masalah ini dan saya sudah berpesan kepada isteri saya agar jangan kerap membuang sisa-sisa makanan melalui singki. Cuba kurangkan. Cuba kita fikirkan kenapa semua laluan pembuangan di pasang dengan “trap”. Ianya bertujuan untuk mengelakkan bahan yang sukar dilarutkan seperti sabun, mainan, sisa makanan yang berat dari memasuki paip pembuangan. Selain dari itu, rambut kita juga boleh menyebabkan masalah tersumbat. Ia akan terkumpul dan menjadi gumpalan yang besar dan akhirnya terperangkap di dalam paip.

Saya nasihatkan cuba cegah dari perkara ini terjadi dan sekiranya terjadi saya sarankan gunakan kaedah yang tidak menyebabkan paip pecah. Sekiranya paip pecah dan “inspection door” tidak boleh diganti, akibatnya paip elbow perlu diganti dan ia melibatkan kos yang akan ditanggung oleh Badan Pengurusan. Mahukah dana Perbadanan Pengurusan dikeluarkan untuk membaiki paip tersebut hanya disebabkan kelalaian penghuni kita. Tepuk dada tanya selera.

If you're new here, you may want to subscribe to my RSS feed. Thanks for visiting!

Read the rest »