Proses Penyerahan dan Pengambilalihan Pengurusan Bangunan
Baru-baru ini saya dijemput untuk memberi sedikit info berhubung proses penyerahan hak pengurusan bangunan kepada Perbadanan Pengurusan yang baru ditubuhkan. Hasil dari pertemuan tersebut, banyaklah isu-isu yang ditimbulkan dan terdapat beberapa perkara yang menimbulkan kesamaran kepada ahli Perbadanan Pengurusan yang baru. Ini ditambah dengan proses penyerahan yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa sedikit panduan kepada ahli jawatankuasa Perbadanan Pengurusan yang telah dilantik. Proses ini dikusutkan lagi apabila syarikat asal yang mengurus bangunan masuk campur dengan tujuan untuk membantu.
Proses ini pada kacamata saya nampak mudah tetapi apabila kaedah penyerahan yang dilakukan tampak kusut ditambahkan lagi dengan agenda disebalik oleh pihak yang ada kepentingan di dalam pengurusan tersebut menyebabkan tanggungjawab sebenar yang sepatut dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa Pengurusan Perbadanan baru nampak pincang.
Perkara utama yang saya nasihatkan kepada mereka ialah kita perlu amanah dan bertanggungjawab keatas pengurusan Perbadanan ini. Kita tidak boleh ambil mudah dengan tanggungjawab tersebut kerana kita tertakluk di bawah undang-undang Hakmilik Strata dimana kita boleh disaman atau menyaman sekiranya kita menyalahgunakan kuasa yang ada. Kemungkinan kita dapat lari hukuman dunia, tetapi bolehkah kita melarikan diri dari hukuman Allah.
Terdapat segelintir kecil dari Ahli Jawatankuasa yang mula gelap mata bila melihat sejumlah peruntukan yang bakal diperolehi walhal ia hanyalah amanah yang dipertanggungjawab kepada kita untuk mengurus sahaja dan bukannya menggunakan untuk kepentingan diri walaupun ia bertujuan baik untuk kemaslahatan penduduk bangunan tersebut.
Tidaklah perlu saya perincikan bagaimana penyelewengan ini dilakukan, tetapi apa yang ingin saya tekankan disini ialah proses penyerahan yang dilakukan oleh pihak pemaju tidak diikuti dengan pendedahan atau memberi sedikit info berhubung tanggungjawab Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan tersebut. Akibatnya pemilihan ahli adalah berdasarkan tangkap muat menyebabkan ahli yang dipilih mula merasa bahangnya dan mula kehilangan arah, apakah yang patut dilakukan selepas ini.
Timbul bermacam-macam fikiran dan yang paling ketara ahli jawatankuasa mula mengambil tindakan mudah dengan memohon untuk meletak jawatan kepada pihak pemaju. Persoalan mudah saya ialah, siapakah pemaju yang berhak untuk menerima perletakan jawatan tersebut. Dengan persoalan tersebut, menimbulkan banyak persoalan lain yang memerlukan jawapan yang jelas.
Saya bersimpati dengan keadaan mereka. Saya cuba untuk membantu tetapi tanpa komitmen mereka bagaimana saya dapat membantu. Malahan kebanyakan dari mereka mula mengalah sebelum berperang. Berpusu-pusu meletak jawatan sebelum melaksanakan tanggungjawab. Mereka menganggap diri mereka telah ditipu.
Tags:badan pengurusan,management,management corporation,mc,perbadanan pengurusan















