Masalah Vandalisma atau Sikap
Pada 12hb Nov 2008, berlaku kerosakan kepada auto gate di pintu masuk ke pangsapuri. Kerosakan tersebut menimbulkan sedikit permasalahan baru dan isu ini kemungkinan tidak akan selesai sampai disitu sahaja. Banyak persoalan dan jawapan diperlukan untuk mengatasi masalah ini. Persoalan utama ialah kerosakan ini adakah disebabkan vandalisma, sikap atau kecuaian yang tidak disengajakan.
Saya tidak mahu merungkai permasalahan ini, hanya yang bertanggungjawab sahaja dapat memberi jawapan yang sebenarnya. Terdapat segelintir dari penduduk beranggapan hanya kaedah ini sahaja dapat menyuarakan ketidakpuasan diatas tindakan yang diambil oleh pihak yang lain. Masing-masing mempunyai pendapat yang mungkin tidak akan menepati kehendak masing-masing. Saya tidak nafikan setiap penduduk mempunyai hak untuk memberi pendapat dan kita juga perlu akur tidak semua pendapat dapat diterima. Kita perlu mencapai satu persetujuan secara bersama yang dapat memberi keadilan kepada semua. Setiap penduduk perlu akur tidak akan ada keadilan yang mencapai 100 peratus kepuasan. Janganlah disebabkan pendapat kita tidak dipersetujui, kita mengambil langkah mudah ditambah pula dengan keegoan kita yang sukar menerima pendapat orang lain. Alhasilnya kita semua akan menerima musibahnya.
Siapakah yang perlu bertanggungjawab disebabkan kerosakan ini. Hanya disebabkan nyamuk seekor, kelambu dibakar. Akibatnya bukan sahaja si pemilik kelambu tidak dapat tidur tetapi akan di
serang oleh beribu nyamuk-nyamuk yang lain.
Kita perlu memikirkan secara rasional setiap keputusan yang diambil dan kita juga perlu menerima bukan kita sahaja mendiami kawasan ini. Anak-anak kita dan jiran tetangga kita perlu juga dijaga. Cuba kita renungi hadith-hadith rasulullah s.a.w dan ayat-ayat Al Quran yang menekankan konsep toleransi dan bersikap berbaik-baik dengan jiran tetangga kita. Kita semua mempunyai pedomen dan janganlah tunjukkan rasa keegoan kita yang tidak memberi apa-apa makna kebaikan kepada kita semua.
Perlulah kita sandarkan kepada kebesaran Allah dimana keegoan yang mutlak hanya layak untuk Allah sahaja. Sedarkanlah diri kita sendiri adalah hak Allah, belum lagi termasuk rezeki kekayaan kita. Sikap yang tidak sihat atau vandalisma tidak memberi apa-apa keuntungan kepada diri kita, hanya menambah kerosakan kepada kita.
Selain dari itu, kerosakan itu akan menyusahkan setiap penduduk termasuk diri kita yang pada asalnya kemungkinan untuk memberi kesusahan kepada pihak yang bertanggungjawab. Lain yang dicadangkan lain yang jadi. Kehidupan kita di dunia ini tidak dapat elak dari memohon bantuan termasuk apabila kita menutup mata. Siapa yang akan membawa jenazah kita ke liang lahad kalau bukan jiran tetangga kita. Rezeki kekayaan kita tidak mampu untuk membawa kita ke liang lahad melainkan mampu memberi kebahagiaan kepada kita dunia dan akhirat jika jalan yang diambil adalah benar.
Saya sendiri pernah menghadapi situasi ini, malahan mereka sendiri merasa malu diatas sikap tersebut dan akhirnya siapa yang rugi. Tiada siapa yang untung disini. Malahan jiran tetangga kita turut merasa ketidakpuasan tersebut dan kita sendiri akan diboikot.
Tags:vandalism,vandalisma















